MIRI, 28 Sept: Karnival kerjaya sempena Program MADANI Rakyat 2024 bertemakan Sarawakku Sayang di perkarangan Boulevard Mall menerima sambutan luar biasa bermula Jumaat lepas.
Ketua Unit Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sarawak, Melvin Lai berkata, ia menjadi platform membuka peluang pekerjaan kepada penduduk Miri dan kawasan sekitarnya.
“Sebanyak 528 jawatan kosong ditawarkan dengan 70 peratus kekosongan terdiri daripada pekerjaaan yang mewarkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan.
“Kami menerima lebih 1,500 resume setakat semalam (Jumaat) dan saya jangkakan bilangan ini terus meningkat hari ini,” katanya kepada TVS.
Melvin berkata, sektor utama yang terlibat dalam karnival tersebut merangkumi minyak dan gas, pembangunan serta perhotelan.
Tambahnya, sebanyak 21 syarikat mengambil bahagian dan menawarkan peluang pekerjaan kepada pencari kerja.
“Terdapat banyak syarikat yang membuka reruai di sini, ini memudahkan graduan atau invidu yang sedang mencari kerja,” ujarnya.
Karnival tersebut bukan sahaja membuka peluang kepada pencari kerja tetapi menjadi tumpuan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Program MADANI Rakyat 2024 diadakan untuk memperkukuhkan jaringan ekonomi rakyat dan memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat.-TVS