NIBONG TEBAL, 27 Sept: Polis menembak mati dua penjenayah warga Vietnam yang dipercayai terlibat dalam 11 kes pecah masuk kilang dan gudang di dua negeri dalam kejadian di Lorong Perindustrian 4, Bukit Panchor di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 38 dan 39 tahun sebelum itu dilihat keluar dari sebuah kilang dalam keadaan mencurigakan dengan sebuah kereta jenis Proton Waja kira-kira pukul 3.20 pagi.
Menurutnya, polis mengarahkan suspek berhenti untuk diperiksa namun mereka yang bersenjatakan parang menyerang dan memaksa polis melepaskan empat das tembakan bagi mempertahankan diri.
“Dengan tertumpasnya dua suspek itu, kita berjaya menyelesaikan enam kes di kawasan Kontinjen Pulau Pinang dan lima kes di Kontinjen Kedah melibatkan kerugian lebih RM 317,700.
“Turut ditemui dalam milikan suspek adalah dua bilah parang, pelbagai peralatan pecah masuk premis dan bangunan serta kereta Proton Waja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di sini hari ini.
Tambah Hamzah, hasil semakan lanjut mendapati suspek aktif dalam kegiatan itu sejak 2017 dan keluar masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong.
“Siasatan mendapati mereka merupakan antara rangkaian sindiket didalangi rakan senegara yang menyasarkan kilang dan gudang untuk dipecah masuk sebelum melarikan aset termasuk wang tunai dalam peti besi.
“Bagaimanapun, siasatan kita kini menjurus untuk mengenal pasti sama ada wujud penglibatan orang dalam di premis terbabit atau sebaliknya,” ujarnya.
Menurutnya, suspek masing-masing didapati mempunyai enam dan dua rekod jenayah lampau.
Mayat mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya dekat sini untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – TVS