KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata semua aktiviti tidak perlu (non-essential) dalam sektor-sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian dibenar kembali beroperasi bermula 16 Ogos di negeri Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bagaimanapun, beliau berkata kapasiti pengoperasian adalah bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja.
Muhyiddin menambah kapasiti pengoperasian 100 peratus dibenarkan sekiranya kadar vaksinasi lengkap pekerja berada pada tahap 80 peratus hingga 100 peratus; 80 peratus kapasiti pengoperasian (kadar vaksinasi 60 peratus hingga 79 peratus); manakala 60 peratus kapasiti pengoperasian (kadar vaksinasi 40 peratus hingga 59 peratus).
Perdana Menteri berkata kerajaan sedar keputusan itu akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai yang bimbang dengan risiko penularan, namun setiap ketetapan dibuat dengan berhati-hati.
“Setelah lebih setahun negara berada dalam situasi pandemik, banyak majikan mula mengurangkan tenaga kerja sekali gus menyebabkan ramai hilang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
“Dalam situasi sukar ini, kerajaan tidak boleh membiarkan keadaan ini berlarutan,” tambahnya.
Muhyiddin turut menzahirkan harapan agar kemudahan yang diumumkan hari ini dapat merancakkan semula perusahaan para majikan.
Justeru, beliau mengingatkan semua majikan supaya mematuhi dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan sebelum memulakan semula operasi bagi memastikan keselamatan pekerja dan tempat kerja terjamin.
Pada masa yang sama, majikan turut digesa untuk memanfaatkan sepenuhnya inisiatif subsidi upah yang disediakan kerajaan bagi memastikan setiap pekerja memperoleh bayaran gaji mereka.
Kepada para pekerja, Muhyiddin berkata laporan segera perlu dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia di cprc@moh.gov.my atau Kementerian Dalam Negeri di aduan.sop@moha@gov.my atau Kementerian Sumber Manusia melalui aplikasi Working For Workers (WFW) sekiranya majikan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kuasa di tangan anda sebagai pekerja kerana majikan yang tidak mematuhi SOP dan melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) boleh dikompaun dan dihadapkan ke mahkamah.
“Di bawah Akta ini juga, KKM mempunyai kuasa penuh untuk memberi notis perintah tutup premis,” tegas beliau.
Menurut Muhyiddin, dari tempoh 26 Julai hingga 10 Ogos, lebih 900 premis telah diarahkan tutup kerana kegagalan mematuhi SOP.
Ini sekali gus membuktikan kerajaan amat tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan, tambah beliau.
— BERNAMA