KUCHING, 26 September: Pasangan regu tenpin boling Abg Yahya Abg Azhar dan Nur Syazwani Marais mengekalkan kejuaraan sekali lagi dengan menghadiahkan pingat emas kepada Sarawak.
Kejayaan itu dilakar menerusi satu pingat emas dalam acara TPB4 hari ini.
Abg Yahya, 26, mengakui mereka agak ketinggalan pada awal pusingan dibelakang dua pasukan Selangor yang diwakili Muhammad Danial Azrai Zulkifli dan Muhammad Hazmi Khairil Azri, serta Eliyana Johari dan Syed Umar Syed Abdullah Thani.
“Ini penampilan kelima saya, dan tadi permainan sengit kerana ada aksi kejar mengejar sehingga kami berada di tempat ketiga.
Selepas itu, saya dan Syazwani terpaksa ‘cover’ balik untuk mempertahankan takhta juara bertahan itu.
“Kami memang lakukan sehabis baik untuk merampas kembali tempat pertama tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus tamat permainan di Megalanes Emart, di sini, hari ini.
Pertandingan hari ini menyaksikan Abg Yahya dan Nur Syazwani berjaya mengumpul sebanyak 2,244 jatuhan pin meninggalkan pasangan Selangor yang masing-masing mencatatkan jumlah jatuhan sebanyak 2,188 dan 2,111 pin.
Terdahulu, Abg Yahya juga menaiki podium semalam dengan memenangi pingat perak bagi kategori perseorangan lelaki TPB4.