KUCHING, 25 Sept: Pemenang pingat emas perseorangan wanita boling tenpin kategori TPB4, Nur Syazwani Marais mendedikasikan kemenangannya pada Para SUKMA 2024 kepada Kerajaan Sarawak dan kontinjen Sarawak.
Menurut Nur Syazwani, 31, kemenangan itu hasil daripada tunjuk ajar dan kepercayaan semua pihak terhadapnya dalam sukan tersebut.
“Ini emas ketiga saya sejak mula bertanding dalam Para SUKMA, insya-Allah esok saya cuba lakukan terbaik lagi kerana esok merupakan acara terakhir saya dalam beregu campuran.
“Saya harap saya mampu menyumbangkan emas bagi kategori itu sama seperti edisi yang lepas,” katanya ketika ditemui media selepas acara penyampaian pingat di Megalanes Emart, di sini, hari ini.
Terdahulu, Nur Syazwani berjaya menewaskan lawan dari Johor iaitu Adib Nafisah Md Faishalim dengan jatuhan pin sebanyak 1,099 pin.
Untuk rekod, atlet kelahiran Kuching itu sebelum ini juga pernah menghadiahkan emas buat negara pada Sukan Para ASEAN 2017 (Para KL2017). – TVS