KOTA SAMARAHAN, 24 Sept: Kerajaan Sarawak bersedia menyalurkan bantuan kewangan kepada pihak Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika (TROPI) Sarawak bagi menjalankan kajian saintifik terhadap rumput Napier.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rumput ini bukan sahaja boleh menjadi sumber biojisim untuk menghasilkan tenaga elektrik, tetapi manfaatnya dapat dilihat dari sudut menjana pendapatan tambahan kepada pekebun kecil.
“Rumput Napier ini boleh menjadi sumber biojisim dan biojisim ini ditukarkan menjadi palet rumput dan palet ini boleh menjadi stok gambut untuk menghasilkan tenaga elektrik.
“Jika kita mempunyai pokok sagu, di antara (pokok itu), kita boleh tanam rumput Napier ini dan ia boleh menjadi pendapatan tambahan kepada petani. Bukan sahaja untuk palet, tapi jika mereka menternak haiwan maka rumput tersebut boleh menjadi makanan kepada mereka (ternakan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala Sago, bersempena Simposium Sagu Antarabangsa ke-15 bertempat di Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika (TROPI) Sarawak di sini, malam ini.
Menurut Abang Johari, palet rumput ini sudahpun dihasilkan di sebuah kilang di Bintulu di kawasan seluas 800 hektar.
“Semalam (Isnin) saya telah pergi ke sebuah kilang di Bintulu, dan saya melihat kilang ini mengeluarkan palet rumput dan mereka menjual untuk menjejak loji kuasa di United Kingdom,” ujarnya lagi.
Selain itu, Abang Johari turut menyarankan pihak TROPI untuk bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menjalankan penyelidikan mengenai pembinaan jalan bertingkat pada tanah gambut.
Menurut beliau, penyelidikan mengenai tanah gambut boleh memberikan data tertentu tentang kualiti tanah tersebut dan juga cara menguruskannya di atas pembinaan jalan bertingkat.
Katanya lagi, pembinaan jalan bertingkat ini boleh mengelak kerosakan kepada tanah gambut yang memerlukan banyak waktu dan kos penyelenggaraan.
“Jika membina jalan bertingkat, kita tidak perlu menyelenggara jalan di tanah gambut kerana biasanya jalan tanah gambut memerlukan masa satu atau dua tahun untuk bertukar menjadi gelombang. Jika ia dinaikkan (bertingkat), memang akan perlu kos yang banyak pada awalnya dan saya telah meminta JKR dan pihak TROPI untuk melihatnya,” jelasnya lanjut.
Turut hadir Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Bertemakan ‘Membuka Potensi Sagu: Ke Arah Sistem Makanan Mampan dan Pemulihan Alam Sekitar’, simposium ini menyasarkan untuk menghimpun para saintis, pihak berkepentingan dalam industri serta pegawai kerajaan untuk menjayakan aspek berbeza dalam pembangunan sagu bagi memastikan sistem pengeluaran tanaman yang mampan.
la juga bertujuan mengangkat status sagu di peringkat global sebagai sumber makanan yang berdaya maju, mampan serta berkhasiat dan pada masa sama, memainkan peranan penting dalam pemulihan serta rehabilitasi tanah gambut tropika. – TVS