KUCHING, 24 Sept: Mohd Adib Iqbal Abdullah yang dahulunya seorang nelayan, kini mengukir nama sebagai atlet para renang Sarawak yang cemerlang.
Dia yang berusia 25 tahun berjaya memecahkan rekod Para SUKMA XXI menerusi acara 100m gaya kuak dada lelaki SB14, sekali gus menyumbang pingat emas kepada skuad para renang Sarawak di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya hari ini.
Ketika ditemui selepas penyampaian pingat, Mohd Adib yang berasal dari Asajaya berkata, dia mula menceburi sukan dari sekolah.
“Dahulu, saya seorang nelayan. Selepas itu, saya mewakili sekolah, kemudian daerah, dan pada tahun 2016, saya diserap ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), sebelumnya saya mempunyai rekod 1 minit 10 saat tahun lepas. Tahun ini, saya berjaya memecahkan rekod itu dan berharap dapat mencipta rekod baharu untuk Sukan Asia tahun depan.
“Saya gembira dapat menyumbang pingat untuk Sarawak dan akan berusaha lebih keras untuk kejohanan akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut, Adib berharap dapat mengekalkan momentum dan berlatih bagi persiapan Sukan SEA.
“Saya menyasarkan untuk Sukan SEA kelak, saya harap dapat enam pingat baharu. Sama juga untuk Sukan Asia.
“Strategi setakat ini adalah fokus latihan dan cukup pemulihan. Maka dengan itu, saya memang agak sibuk bagi persiapan untuk Sukan SEA dan Sukan Asia,” tambahnya.
Sementara itu, jurulatihnya, Syarbini Kedri menzahirkan kesyukuran ketika mendapat berita kejayaan Adib.
“Perasaan syukur Alhamdulillah, saya merasa puas dan gembira semua atlet yang memang diharapkan untuk menang pingat emas. Adib sebenarnya adalah atlet kebangsaan di Kuala Lumpur, maka latihannya adalah di ibu negara.
“Apabila dia mewakili Sarawak, dia akan berada di bawah pasukan Sarawak, tetapi cuma berlatih di KL. Insya-Allah, dia akan meneruskan latihan di KL sebagai atlet kebangsaan,” tambah Syarbini. – TVS