SEOUL, 24 Sept: Seorang lelaki di Korea Selatan ditahan selepas mengaku membunuh teman wanitanya 16 tahun lalu dan membenamkan mayat mangsa di lantai simen balkoni rumahnya, polis memberitahu AFP pada Selasa.
Suspek, yang kini berusia 50-an, didakwa membunuh wanita itu pada Oktober 2008 setelah berlaku pertengkaran, menurut Polis Wilayah Gyeongnam dan Balai Polis Geoje.
Wanita tersebut maut akibat dipukul objek tumpul kemudian mayatnya dimasukkan ke dalam beg besar, kata polis.
Suspek kemudian menyembunyikan mayat itu di balkoni rumahnya dengan menyusun batu bata dan menuang lapisan simen setebal 10 sentimeter.
Wanita itu tidak dilaporkan hilang sehingga tiga tahun kemudian (2011), kerana dia tidak berhubung dengan keluarganya sendiri.
Sewaktu siasatan orang hilang pada 2011, suspek memberitahu polis bahawa mereka telah berpisah dan kes itu tidak dapat diselesaikan kerana kekurangan bukti.
Seorang pegawai polis memberitahu pemberita bahawa mayat itu tidak ditemui lebih awal kerana berada di ruang balkoni kecil dan bilik itu kosong sejak 2016.
Pada tahun sama, suspek telah ditangkap berikutan kes dadah, dan tuan rumah berkata tempat itu digunakan untuk ruang simpanan.
Mayat itu ditemui bulan lalu selepas seorang pekerja sedang mencari punca kebocoran air lalu menemui beg itu.
Selepas pemeriksaan, polis mendapati mayat wanita itu sedikit sebanyak dalam keadaan terpelihara.
“Mayat belum reput sepenuhnya hingga menjadi tulang, membolehkan kami mengenal pasti dia menggunakan cap jari,” kata polis.
Lelaki itu dibawa untuk disoal siasat dan akhirnya mengaku melakukan pembunuhan itu.
Seorang pegawai polis dari Polis Wilayah Gyeongnam memberitahu AFP siasatan dan soal siasat hampir tamat dan lelaki itu akan “diserahkan ke pendakwaan tidak lama lagi”. – TVS