Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Dilamun cinta maya, lelaki dan wanita rugi RM27,490

ByYazid Ibrahim

KEPALA BATAS, 14 Ogos — Akibat dilamun cinta, seorang lelaki dan seorang wanita berputih mata apabila kerugian RM27,490 selepas mereka terpedaya dengan sindiket Love Scam dalam kejadian berasingan di Butterworth, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 48 tahun dan lelaki berumur 54 tahun itu, masing-masing terbabit dalam dua kes berbeza selepas berkenalan dengan individu kononnya dari luar negara menerusi Facebook baru-baru ini.

Beliau berkata mangsa lelaki yang bekerja sebagai jurukimpal mendakwa dia berkenalan dengan seorang wanita yang mendakwa dari Amerika Syarikat, manakala mangsa wanita yang merupakan seorang suri rumah berkenalan dengan seorang lelaki dari Belanda.

“Kedua-duanya yang dilamun cinta maya itu masing-masing dimaklumkan oleh suspek bahawa hadiah, kononnya wang tunai dan barang kemas, telah dihantar kepada mangsa sebagai tanda percintaan.

“Seterusnya mereka masing-masing dihubungi suspek yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran dan mendakwa hadiah yang mengandungi wang bernilai ribuan dolar Amerika Syarikat telah tiba di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, Noorzainy berkata suspek meminta mangsa membuat bayaran yang didakwa sebagai bayaran cukai ke dalam akaun yang diberikan, sekiranya ingin menerima barangan tersebut.

Mereka yang teruja telah membuat pemindahan wang iaitu RM13,790 oleh mangsa lelaki dan RM13,700 oleh mangsa wanita.

“Kedua-dua mangsa mulai curiga selepas suspek masih meminta wang tambahan walaupun telah meminta sejumlah wang dan mereka yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis semalam untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata siasatan polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa itu ditipu sindiket Love Scam yang sama kerana berdasarkan keterangan mereka, suspek didapati menggunakan modus operandi dan nombor akaun yang sama.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan beliau menasihatkan orang ramai membuat semakan lanjut mengenai individu mencurigakan di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau aplikasi Check Scammers CCID di Google Playstore sebelum membuat transaksi online.

— BERNAMA

Tags: #bm, pdrm, rugi

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan