SELANGAU, 24 Sept: Seorang lelaki cedera di bahagian bahu selepas lori dipandu kemalangan kendiri di Jalan Pan Borneo Selangau- Mukah di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Vincent Teu Amau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 7.19 pagi dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah lori membawa muatan batu kuari dari arah Selangau ke Simpang Matadeng, Mukah.
“Terdapat seorang lelaki berusia 60 tahun iaitu pemandu lori masih berada di dalam kabin dan tidak dapat bergerak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba bertindak memecahkan cermin hadapan lori untuk akses mengeluarkan mangsa dari tempat duduk pemandu.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahu diserahkan kepada ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dihantar ke Klinik Kesihatan Selangau bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” ujarnya. – TVS