KUCHING, 24 Sept: Atlet para lontar peluru Sarawak, Jap Soon Hung, 39, menepati ramalan sebagai juara bertahan dalam acara itu bagi kategori F54 pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) dengan mengekalkan pingat emas yang dimenangi sebelum ini, pagi tadi.
Lebih manis, Soon Hung berjaya memperbaharui rekod miliknya sendiri dalam acara itu dengan mencatat lontaran sejauh 8.22 meter (m) pada percubaan kelima sekali gus berjaya mengetepikan tiga pencabarnya dari Sabah.
Ketika ditemui pemberita, katanya, dia sudah menjangkakan akan melakukan catatan itu dengan selepas ini menyasarkan dua lagi kilauan pingat emas dalam acara padang yang disertainya.
“Esok ada acara rejam lembing dan lempar cakera dengan harapan dapat memecahkan rekod dalam kedua-dua acara tersebut,” katanya ketika ditemui media di Stadium Sarawak di sini, hari ini.
Edisi kali ini, Soon Hung berjaya memperbaharui rekod lamanya yang dicatat pada Para SUKMA dua tahun lalu di Kuala Lumpur dengan catatan 8.18m pada masa itu.
Sementara itu, pingat perak menjadi milik Freddy Waldie dari Sabah yang mencatatkan 5.68m dan rakan senegerinya Muhamad Khairi Military Lorin berpuas hati dengan gangsa. – TVS