KUCHING, 23 Sept: Kuala Lumpur dan Perak mengungguli sukan memanah Para SUKMA XXI yang berlangsung di sini, hari ini.
Atlet Kuala Lumpur, Muhammad Aizat Zaini merangkul pingat emas selepas memungut 660 mata bagi acara compound lelaki terbuka.
Pingat perak diraih Kumar Krishnan manakala gangsa menjadi milik Megat Nur Izzat Megat Noor Azree.
Menurut Muhammad Aizat,32, Para SUKMA memberi sinar baharu kepada kehidupannya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2017 menyebabkan kakinya terpaksa dipotong empat kali.
“Memang tekanan sangat tinggi namun dengan sokongan jurulatih, saya tenang dan fokus kepada panahan.
“Alhamdulillah dengan sokongan jurulatih, jadi saya buat yang terbaik hari ini, inilah hasilnya,” katanya.
Sementara itu, acara compound wanita terbuka dimenangi Nurul Farha Abdul Hamid dari Perak selepas memperoleh 616 mata.
Nurul Farha,37, berkata, beliau sangat gembira selepas meraih pingat emas selepas kecewa pada edisi lepas.
“Terima kasih kepada semua jurulatih yang memberi tunjuk ajar termasuk dorongan keluarga, rakan-rakan dan semua pihak.
“Selepas ini, saya buat yang terbaik untuk melangkah lebih jauh selepas ini,” ujarnya.-TVS