KUCHING, 23 Sept: Atlet Johor, Nur Ilyana Abu Bakar menampilkan aksi cemerlang untuk mengalahkan Mokanayashini Krishna Naidu dari Perak 21-4 dalam aksi boling padang perseorangan wanita B3 – Kumpulan T.
Jurulatih Johor, Abdul Hadi Taib berkata, perlawanan tersebut memihak kepada anak buahnya dan momentum kemenangan perlu diteruskan dalam perlawanan seterusnya.
“Alhamdulillah kita menang, saya berharap perlawanan akan datang pemain kita terus menampilkan aksi cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS di Arena Lawn Bowls Sarawak pagi tadi.
Menurutnya, tumpuan sekarang adalah meraih kedudukan tiga terbaik.
“Saya tidak kisah warna pingat, yang penting kita berada dalam kelompok tiga terbaik,” ujarnya.
Untuk rekod, Nur Ilyana memenangi pingat perak untuk Para SUKMA ke-20.-TVS