KOTA SAMARAHAN, 22 Sept: Umat Islam dinasihatkan mengikut ajaran al-Quran dan sunnah sebagai tanda rasa syukur terhadap nikmat yang diberikan Allah SWT.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Idris Buang berkata, platform seperti Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Samarahan membuka ruang kepada masyarakat untuk berkumpul mendengar bacaan ayat suci daripada qari dan qariah.
Menurutnya, al-Quran merupakan panduan hidup dan mempunyai penceritaan mengenai kisah penting.
“Kita sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT, salah satu cara kita bersyukur adalah mengikut ajaran al-Quran dan sunnah.
“Hari ini kita bertuah kerana dapat mendengar sebahagian surah yang mempunyai nabi dan kita patut mensyukurinya,” katanya.
Beliau berucap semasa Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Daerah Samarahan 2024 di Masjid Darul Sabirin Kampung Empila di Kota Samarahan pada Ahad.
Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang menjelaskan, majlis tilawah al-Quran perlu diteruskan untuk mendidik generasi muda.
“Kita mahu membaca al-Quran menjadi budaya sejak awal usia supaya mereka boleh hidup dengan penuh kesucian,” ujarnya.
Menurutnya, beliau akan terus memberi sokongan kepada sebarang usaha untuk menganjurkan program keagamaan.
Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Daerah Samarahan 2024 berlangsung di perkarangan Masjid Darul Sabirin Kampung Empila selama dua malam bermula 21 dan 22 September 2024.
Seramai 21 peserta menyertai majlis tahun ini merangkumi 10 qari dan 11 qariah.-TVS