Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

NGO mohon pengampunan Diraja untuk Najib

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) hari ini menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Baginda supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi pengampunan Diraja.

NGO berkenaan turut mencadangkan supaya Najib dilantik sebagai Perdana Menteri Interim bagi menyelesaikan krisis politik yang melanda negara.

Pengerusinya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, asas kepada cadangan oleh pihaknya ialah kerana Najib sebelum ini telah membuktikan kemampuannya untuk mentadbir negara.

“Saya mencadangkan supaya Seri Paduka dapat memberikan pengampunan Diraja kepada Najib terhadap pertuduhan mahkamah serta hukuman yang telah dijatuhkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut di Istana Negara hari ini.

Menurut Syed Muhammad Imran, beliau melihat rakyat juga mahu Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu kembali mentadbir negara.

Katanya, Najib juga sering memberikan cadangan kepada kerajaan bagaimana untuk menguruskan ekonomi dan kebajikan rakyat sejak negara dilanda pandemik.

Sementara itu, Najib dalam reaksi menerusi Facebook menafikan ‘hubungannya’ dengan NGO berkenaan sebaliknya menegaskan beliau tidak mahu kes pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya digugurkan.

“Saya berterima kasih kepada NGO ini kerana mengambil berat tetapi saya tidak pernah berhubung dengan mereka malahan tidak diberitahu mengenai petisyen yang dihantar kepada Istana Negara pagi tadi,” tulisnya.

Ujar Najib, beliau mahu kesemua kesnya melalui proses perbicaraan dan perundangan yang adil dan telus kerana yakin ianya merupakan kaedah untuk membersihkan namanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan