POTSDAM (Jerman), 22 Sept: Seramai kira-kira 2.1 juta pengundi yang layak mengundi di negeri Brandenburg, Jerman mula melaksanakan tanggungjawab mereka pagi Ahad dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), lapor agensi berita Jerman (dpa).
Tumpuan kini terarah sama ada parti sayap kanan akan meraih sokongan terbanyak untuk kali kedua dalam sebulan, atau jika Parti Demokratik Sosial (SPD) akan mengungguli keputusan.
SPD merupakan parti yang dipimpin oleh Canselor Olaf Scholz, namun ia juga parti yang diwakili oleh pemimpin popular bagi negeri Brandenburg, Dietmar Woidke.
Brandenburg adalah satu-satunya negeri yang diperintah secara berterusan oleh SPD sejak 1990, walaupun dalam gabungan dengan pelbagai parti lain.
Tinjauan yang dikeluarkan pada Khamis oleh penyiar awam ZDF menunjukkan AfD memperoleh 28 peratus, manakala SPD memperoleh 27 peratus sokongan undi.
Tinjauan itu juga menunjukkan parti Demokrat Kristian (CDU), parti pembangkang utama di peringkat persekutuan dijangka memenangi 14 peratus undi, manakala parti populis baharu, Sahra Wagenknecht Alliance (BSW), memperoleh 13 peratus.
Namun, tinjauan ini hanya mencerminkan pendapat semasa kaji selidik dijalankan dan bukan ramalan bagi keputusan pilihan raya. -TVS