KUCHING, 21 Sept: Kejohanan Bola Sepak Tertutup Belia Petronas 2024 menghadirkan perasaan teruja dalam kalangan ibu bapa kepada pemain muda yang memberi sokongan padu.
Kebanyakan ibu bapa juga berpuas hati dengan kejohanan anjuran Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) itu yang disifatkan mampu mencungkil bakat muda yang berminat dalam sukan bola sepak.
Halim Mohd Rosli,55, berkata, kejohanan tersebut diperlu diadakan lebih kerap bagi mencungkil bakat pemain muda.
“Bagi saya kejohanan seperti ini harus diteruskan pada masa akan datang kerana ia mendapat sambutan memberangsangkan.
“Ini adalah langkah terbaik mencari pemain pelapis dan meningkatkan kualiti permainan mereka,” katanya kepada TVS hari ini.
Secara keseluruhannya Halim berpuas hati dengan penganjuran kejohanan tersebut yang juga berperanan mengisi masa lapang anak-anak dengan aktiviti sihat.
“Kita berharap lebih banyak agensi dan syarikat menganjurkan kejohanan seperti ini. Kalau boleh setiap tahun ada kejohanan seperti ini supaya kita tidak ketandusan pemain hebat,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Huzaimah Ibrahim,43, pula berpendapat kejohanan tersebut membuka ruang kepadanya sebagai ibu untuk melihat bakat anaknnya dalam bola sepak.
“Saya melihat kejohanan ini mampu mengetengahkan bakat anak saya dan mungkin boleh menjadi pemain Sarawak suatu hari kelak.
“Anak saya ini mula menunjukkan minat terhadap bola sepak sejak berusia lima tahun,” jelasnya.
Bagi pemain Pasir Pandak FC, Awang Amin Muslim,11, dia mula meminati bola sepak sejak berusia lapan tahun.
“Ini bukan kali pertama saya terlibat dengan kejohanan seperti ini, sebelum ini saya pernah menyertai kejohanan bola sepak.
“Baru-baru ini, saya dan pasukan memenangi tempat kedua Liga Honest,” kata Awang Amin.
Perlawanan hari ini menyaksikan beberapa pemain Kuching City FC hari memberi semangat kepada pemain muda yang beraksi.-TVS