BINTANGOR, 21 Sept: Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor yang meredah perjalanan sejam hampa selepas laporan kebakaran yang diterima hanya panggilan palsu.
Berdasarkan laporan, sebuah rumah di Julau dikatakan terbakar malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Penolong Penguasa Bomba Nicholas Belulin berkata,
pihaknya menerima panggilan pada jam 12.15 tengah malam sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi.
“Bagaimanapun sebaik tiba, kami melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan yang didakwa pengadu berlaku kebakaran.
“Bagaimanapun selepas beberapa minit melakukan tinjauan, kami tidak menjumpaikan sebarang kesan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nicholas berkata, sebagai tindakan susulan, anggotanya menghubungi semula pengadu namun tidak menerima sebarang maklum balas.
“Malah, kami ada menghubunginya sekurang-kurangnya tiga kali namun tidak mendapat respons sebelum mendapat kebenaran Pusat Gerakan Operasi (PGO) untuk bertolak balik ke balai.
“Berikutan itu, bomba terpaksa tampil membuat laporan di Balai Polis Bintangor hari ini,” ujarnya. – TVS