KOTA KINABALU, 21 Sept: Sukarelawan Persatuan Menunggang Untuk Orang Kurang Upaya Malaysia (RDA) Sabah berazam mengambil langkah penting ke arah memperbaiki kehidupan kanak-kanak kurang upaya menerusi konsep terapi kuda.
Walaupun konsep terapi kuda agak baharu di Sabah, RDA Sabah bersemangat untuk memperkenalkan kepada orang ramai tentang manfaat fizikal, emosi dan kognitif yang ditawarkan menerusi aktiviti menunggang kuda kepada golongan kurang upaya.
Pengerusi RDA Sabah, Datuk Msaktian @ Mohd Pintas KK Badar berkata, terapi kuda mempunyai beberapa kebaikan termasuk penambahbaikan kekuatan teras, keseimbangan, koordinasi dan rangsangan deria.
Menurutnya, ia juga memupuk kesejahteraan emosi, meningkatkan kemahiran sosial dan membina keyakinan diri dalam kalangan kanak-kanak kurang upaya.
“RDA merupakan persatuan peringkat Persekutuan tetapi di Sabah kita ada beberapa kuda yang sesuai untuk tujuan ini, maka kita menubuhkan RDA Sabah pada Februari tahun ini.
“Terapi kuda ini agak baharu di Sabah tetapi kami rasa di negeri ini ada keperluan untuk membantu kanak-kanak istimewa kerana secara sains ia terbukti berkesan untuk kanak-kanak dengan pelbagai jenis ketidakupayaan termasuk cerebral palsy, autisme spectrum order (ASD) dan sindrom down.
“Ia bukan sahaja membantu pemulihan fizikal dengan meningkatkan mobiliti dan ton otot tetapi memberikan manfaat kognitif dan emosi seperti meningkatkan tumpuan, mengurangkan kebimbangan dan meningkatkan keyakinan diri,” katanya.
Menurutnya, selepas menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dan Jabatan Pendidikan Sabah, RDA Sabah berhasrat menubuhkan pusat latihan menunggang kuda percuma untuk kanak-kanak kurang upaya berusia lima hingga 18 tahun.
Tambahnya, ia sekali gus menjadikan RDA Sabah sebagai penyedia perkhidmatan terapi kuda terapi bertauliah pertama di negeri ini.
Setakat ini, persatuan tersebut mempunyai lima hingga tujuh kuda yang disediakan Pintas bagi tujuan terapi.
“Kami tidak dapat menjanjikan bulan dan bintang kepada semua orang tetapi kami akan buat yang terbaik. Memang mustahil untuk kami membantu semua kanak-kanak istimewa di Sabah tetapi saya percaya dengan bantuan Jabbatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dan Jabatan Pendidikan Sabah serta pihak lain, kami mampu melakukannya,” katanya.
Seorang kanak-kanak penghidap ADHD dan disleksia, Biel Cornet Lim,12, berkata, dia merasa perubahan ke atas dirinya dari segi keyakinan, postur badan dan pertuturan selepas tiga tahun menjalani latihan tersebut di Kuala Lumpur.
Menurutnya, sebelum menjalani terapi kuda, dua tidak mempunyai keyakinan tinggi dan mengalami masalah gagap dalam pertuturan.
“Sebelum ini memang agak sukar untuk saya bercakap tanpa gagap, sekarang saya sudah boleh bertutur dengan lancar seperti orang lain. Menunggang kuda juga membuatkan saya berasa amat gembira.
“Kepada kanak-kanak yang mungkin berasa was-was dengan terapi kuda, janganlah risau kerana kuda merupakan makhluk amat baik dan mereka memahami perasaan manusia. Ia tidak akan mencederakan kamu selagi kamu tidak menyakitinya,” kata Biel.
Sementara itu, Ketua Jurulatih dan Ketua Kordinasi RDA Malaysia, Muthusamy Kandasamy berkata, Biel menunjukkan perubahan ketara selepas terapi kuda terutama dari segi kualiti pertuturan dan tahap keyakinan.
“Biel boleh mengendalikan kuda sendiri. Banyak pertandingan dia masuk dan banyak piala yang dia pegang. Suatu hari nanti, Biel boleh menyertai pertandingan lebih besar seperti Special Olympics.
“Pesanan saya kepada ibu bapa kepada anak istimewa, di mana pun kita hantar anak kita, pastikan tempat itu ada jurulatih bertauliah. Bukan sahaja untuk kuda tetapi juga terapi berenang atau memanah, pastikan jurulatih bertauliah demi keselamatan anak-anak,” jelasnya.
Dalam usaha memperkenal terapi kuda kepada komuniti istimewa di Sabah, RDA Sabah mengadakan bengkel terapi kuda selama dua hari pada 18 dan 19 September melibatkan 55 peserta termasuk 22 kanak-kanak berkeperluan khas dengan dua kuda terapi.
Program anjuran RDA Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah itu bertujuan melatih sukarelawan menjadi pembantu terapi kuda bagi membantu kanak-kanak istimewa di Sabah.-TVS