BEKENU, 19 Sept: Sebanyak 10 kes gangguan seksual diterima Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) setakat 19 September lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, TAGS mengeluarkan keputusan bagi tiga aduan gangguan seksual melibatkan pengadu wanita dan responden lelaki.
“Kes pertama di Negeri Sembilan merupakan gangguan fizikal dan responden diperintahkan untuk membuat permohonan maaf kepada pengadu.
“Kes kedua pula berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan gangguan visual dan responden diperintahkan memohon maaf kepada pengadu dan membayar tebus rugi sebanyak RM60,000,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Outreach Advokasi Antigangguan Seksual di Dewan Masyarakat Bekenu hari ini.
Tambahnya, kes ketiga melibatkan aduan gangguan secara lisan namun ditolak oleh tribunal berikutan tidak dapat dibuktikan dan tidak mengikut kriteria ditetapkan undang-undang.
“Tidak semua kes berpihak kepada pengadu. Jadi TAGS menyediakan saluran alternatif yang pantas, mudah dan kos minimum iaitu kos yang lebih rendah berbading mahkamah sivil,” ujarnya.
Ketiga-tiga keputusan dikeluarkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pertama pendengaran selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 19(1) Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840).
Bagi Sarawak, tribunal akan datang sekiranya berlaku kes namun setakat ini belum ada aduan direkodkan.
“Proses untuk membawa (tribunal) ini ke setiap negeri akan dilakukan secara berterusan. Setakat ini apa-apa sahaja boleh mengadu di Putrajaya sahaja,” ujarnya.
Mangsa gangguan seksual diseru untuk tampil membuat aduan di kaunter Tribunal Bagi Antigangguan Seksual, KPWKM Putrajaya atau hubungi Talian Kasih 15999 untuk sebarang pertanyaan. -TVS