KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Akibat memukul kepala seorang peniaga lain menggunakan besi kerana berang dengan tindakan mangsa yang menjual sayur berdekatan gerainya, seorang peniaga wanita warga Myanmar didenda RM4,000 atau penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini.
Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas Shakilah Kadir Husson, 28, selepas dia mengaku bersalah mencederakan rakan senegara, Mahmudah Zafar Ahmad, 39, di depan sebuah lot kedai di Kampung Lembah Indah, Selayang Baru dekat sini pada 8 malam 30 Julai lepas.
Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, berlaku perselisihan faham antara Mahmudah dan Shakilah kerana mangsa tidak mengendahkan permintaan tertuduh agar tidak berniaga berdekatan gerainya sebelum dia bertindak memukul kepala dan badan mangsa beberapa kali menggunakan sebatang besi panjang.
Terdahulu, peguam Nik Ahmad Asyraf yang mewakili tertuduh, merayu hukuman denda minimum namun Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal kerana mangsa mengalami luka di kepala dan menerima jahitan selain besi yang digunakan tertuduh sepanjang 1.2 meter.
— BERNAMA