KOTA KINABALU, 17 Sept: Mahasiswa universiti tempatan yang menyertai Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah 2024 anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengakui mendapat pengalaman baharu.
Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, Luis Chong Jun Way berkata, penyertaannya dalam program ini memberi pengalaman yang mengubah hidupnya.
Remaja berusia 19 tahun itu yang kali pertama menjejakkan kaki di Sabah berkata, pengalaman membantu masyarakat di wilayah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk kampung tetapi juga memperkukuhkan jati dirinya.
“Sepanjang misi ini, ia bukan sahaja menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup saya, malah akan kekal menjadi sebahagian daripada diri saya. Saya menyedari betapa baiknya manusia, satu pengalaman yang jarang saya temui di bandar seperti Petaling Jaya,” katanya.
Menurut Luis, walaupun kumpulan sukarelawan tersebut tidak dapat meluangkan masa panjang bersama keluarga angkat mereka kerana lebih tertumpu kepada program pembangunan komuniti, keluarga angkat tetap melayan mereka seperti keluarga sendiri.
“Kami adalah orang asing bagi mereka, tetapi layanan yang diberikan penuh dengan kemesraan. Mereka menyediakan makanan kepada kami empat kali sehari sedangkan bukan mudah bagi mereka untuk menyediakan semua itu. Ini membuka mata saya tentang erti sebenar kebaikan manusia dan kesukarelawanan, di mana mereka melayan kami dengan ikhlas tanpa meminta balasan,” katanya.
Luis merupakan salah seorang daripada 100 peserta Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah 2024, program anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Beliau menyatakan rasa terima kasih kepada YSS dan KPN atas peluang ini dan menyifatkan slogan “memenangi badan, hati dan jiwa rakyat tanpa sempadan” benar-benar tercapai.
Sementara itu anak jati Bintulu, Sarawak Anisa Paya Jose pula berkata, dia melihat rakan-rakannya dari Semenanjung Malaysia mempelajari dengan lebih mendalam erti toleransi di antara berlainan kaum dan agama.
Katanya, ramai antara sukarelawan yang berasal dari Semenanjung Malaysia berasa segan untuk menolak makanan yang status halalnya meragukan kerana mereka bimbang akan menyinggung perasaan komuniti setempat di Sabah.
“Namun, selepas misi ini, saya nampak mereka sudah tahu bagaimana untuk menolak dengan cara yang baik dan penuh hormat. Komuniti di Kampung Moyog, Penampang, walaupun kebanyakkannya beragama Kristian sebenarnya amat memahami dan menghormati agama yang lain, ia hanya kerana sedikit perbezaan budaya di antara Semenanjung Malaysia dan Borneo,” kata pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu.
Sementara itu, Muhammad Aliff Hilmi Muhammad Ali, pelajar Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) yang berasal dari Seri Manjung, Perak pula menekankan kepentingan mengenali kapasiti setiap individu dalam sesebuah komuniti.
“Apabila kita mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam, tiada misi yang mustahil untuk diselesaikan. Setiap individu mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, dan apabila semua memainkan peranan mengikut kapasiti mereka, tugasan dapat diselesaikan dengan lebih cepat,” katanya.
Yasmin Zahiera Muhammad Amin, 19, pelajar UTP turut bertekad menggunakan peluang sebagai agen perpaduan untuk membantu Malaysia menuju ke arah Malaysia Madani.
“Saya yakin, walaupun selepas tempoh saya sebagai agen perpaduan tamat, saya akan terus berbakti sebagai rakyat Malaysia. Perpaduan adalah nadi Malaysia, dan hanya dengan bersatu kita dapat mencapai Malaysia Madani yang mencintai dan menyokong satu sama lain,” katanya.
YSS, di bawah KPN, mempunyai visi untuk menjadi hab global dalam kepimpinan sukarelawan siswa ke arah perpaduan negara.
Sejak penubuhannya pada 2012, YSS telah melahirkan 1,797 pemimpin sukarelawan melalui 60 misi sukarelawan dan lebih 8,000 projek komuniti di seluruh negara. -TVS