KOTA KINABALU, 17 Sept: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan melantik ejen, duta dan ikon perpaduan dalam kalangan alumni misi sukarelawan siswa anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kesemua lantikan itu diyakini akan mampu menggerakkan agenda perpaduan menerusi aktiviti sukarelawan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan komuniti dengan mendukung fokus ‘Sukarelawan Tunjang Perpaduan’.
Program itu jelas beliau melibatkan 100 mahasiswa daripada 56 IPT seluruh negara itu tamat selepas dua minggu ditempatkan di enam lokasi berasingan di Sabah.
“Semua alumni yang terlibat dalam misi sukarelawan siswa akan dilantik sebagai ejen perpaduan.
“Seramai 50 sukarelawan akan dilantik sebagai Duta Perpaduan selepas melalui beberapa fasa penilaian.
“Selain itu, dua ikon perpaduan akan dipilih setiap tahun bermula tahun hadapan dan akan diumumkan pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Penutup Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ejen Perpaduan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K.Saraswathy dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.
Menurutnya, sepanjang misi itu sebanyak 229 projek sukarelawan dilaksanakan yang memberi manfaat kepada lebih 24,000 orang menerusi aktiviti dijalankan.
“Kesukarelawan berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan pelbagai latar belakang, budaya dan komuniti
“Melalui aktiviti sukarela, individu dari pelbagai lapisan masyarakat diberi peluang untuk bekerjasama, memahami, dan menghargai satu sama lain,” tambahnya. -TVS.