BINTULU, 17 Sept: Seorang lelaki warganegara asing diberkas kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah syabu di hadapan Royal Hotel Jalan Pedada di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 33 tahun itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Bintulu.
“Suspek telah disiasat di bawah Seksyen 39A (1) ADB 1952 dengan berat kasar rampasan dadah disyaki jenis syabu dianggarkan 5.1 gram.
“Hasil ujian saringan awal polis didapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek juga ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Immigresen 1959/63 kerana tidak dapat menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah memasuki Sarawak.
“Hasil siasatan awal dipercayai dadah untuk pengedaran di sekitar kawasan Kemena dan Ulu Sebauh boleh digunakan untuk 15 hingga 20 orang penagih.
“Tangkapan ini merupakan salah satu usaha polis dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, disamping mencegah aktiviti jenayah di daerah Bintulu ini,” jelasnya.- TVS