KUCHING, 16 Sept: Rakyat negara ini perlu memahami fakta dan sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia selain menghormati dokumen yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dokumen seperti Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) membawa semangat pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Menurutnya, dokumen perlembagaan merupakan syarat dipersetujui ketika penubuhan negara ini.
“Apa yang terkandung dalam Memorandum Jawatankuasa Perundingan Solidariti Malaysia, Laporan Suruhanjaya Cobbold, IGC Report, Akta Malaysia 1963 (UK), Akta Malaysia 1963 (Tanah Melayu), MA63, perjanjian tambahan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963 penting.
“Semua dokumen tersebut adalah perjanjian perlembagaan yang dipersetujui semua pihak ketika pembentukan Persekutuan Malaysia yang wujud hari ini.
“Dalam erti kata lain, dokumen erlembagaan tersebut adalah roh dan semangat MA63,” katanya dalam perutusan Hari Malaysia.
Tun Wan Junaidi berkata, penubuhan Malaysia adalah berasaskan dokumen tersebut, maka tidak seharusnya dipertikai seperti mana fakta sejarah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Menurutnya, penggabungan tiga wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Borneo Utara menerusi MA63 menjadikan Malaysia sebuah negara berdaulat dan berkembang maju.
“Inilah batu asas yang hakiki. Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia berazam dan bertekad bersama menghayati sejarah pembentukan negara Malaysia,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengajak rakyat di negara ini menghormati dan menghargai sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Tun Wan Junaidi berkata, dua sistem itu yang dibentuk bersama dengan Perlembagaan Malaysia menyaksikan penyatuan tiga wilayah ini.
“Justeru, marilah kita bersama menjulang aspirasi Malaysia menerusi fakta sejarah ini. Janganlah kita berbalah, memporak-peranda keharmonian yang sekian lama terbina,” katanya. -TVS