Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Polis rampas syabu RM1 juta di Johor, pelbagai dadah bernilai RM671,000 di Pulau Pinang

JOHOR BAHRU, 12 Ogos — Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran menggunakan tekong laut susulan rampasan syabu bernilai RM1 juta di Johor, hujung minggu lepas, manakala di Pulau Pinang, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai sekitar RM671,000.

Di JOHOR, Ketua Polis Negeri Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata empat individu ditahan dalam tiga serbuan berasingan sekitar Batu Pahat pada 7 dan 8 Ogos lepas.

Beliau berkata serbuan pertama membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun bersama rampasan sejumlah syabu, dan lelaki itu didapati positif dadah morfin, di samping mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Menurutnya dua lagi serbuan susulan melibatkan penahanan sepasang suami isteri dan seorang wanita tempatan berusia 30 sehingga 35 tahun, dan kesemua mereka didapati positif methamphetamie serta mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menggunakan tekong laut untuk menyeludup dadah ke negara jiran melalui jalan laut. Sindiket ini didapati beroperasi sejak Julai lepas dan dadah dipercayai diambil dari Pendang, Kedah untuk diseludup ke negara jiran,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata selain rampasan syabu seberat 29.48 kilogram, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM30,210 dan semua suspek direman sehingga 14 Ogos, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu Ayob Khan berkata polis menumpaskan satu lagi sindiket dadah dalam serbuan pada 3 Ogos lepas susulan penahanan tiga lelaki berumur antara 29 dan 40 tahun dan rampasan 5.21 kilogran syabu di sekitar Seri Alam, di sini kira-kira pukul 12 malam.

Menurutnya empat kenderaan pelbagai jenis bernilai RM368,000, wang tunai RM4,810, barangan kemas bernilai RM37,000 serta satu akaun bank yang mempunyai nilai wang RM100,000 turut dirampas, dan ketiga-tiga individu yang memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan didapati positif methamphetamine itu direman selama tujuh hari, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu di GEORGE TOWN, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata polis menahan dua warga asing dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM671,000 dalam serbuan di sebuah rumah taman di Bukit Tengah dnn sebuah unit kediaman kondominium di Gelugor, Ahad lepas.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di Bukit Tengah pada pukul 10 malam, polis menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 56 tahun dan merampas 18.58 kilogram syabu, 12gram pil eramin 5, 50 butir peluru jenis A USA 9 mm Luger, 56 liter cecair kimia, peralatan memproses dadah dan penimbang.

Katanya siasatan mendapati lelaki itu menyewa rumah teres setingkat berkenaan sejak dua tahun lepas dengan harga RM1,100.

“Siasatan juga mendapati lelaki yang telah tinggal di negara ini sejak 10 tahun lepas itu menjadikan rumah sewa itu sebagai tempat penyimpanan dadah dan pemeriksaan dokumen mendapati pasport serta dokumen perjalanan diri telah tamat tempoh sejak 2017,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Susulan serbuan itu, Fisol berkata polis menyerbu sebuah rumah jenis kondominium di Gelugor, di sini pada 10.50 malam dan menahan seorang wanita warga Vietnam berusia 31 tahun dan merampas 45.4 gram syabu bersamanya.

Beliau berkata siasatan mendapati wanita yang tinggal di kondominium itu sejak dua tahun lepas menyewa dengan harga RM1,200 sebulan dan dia merupakan teman wanita kepada ketua sindiket pengedaran dadah iaitu lelaki warga tempatan yang ditahan di Selangor, baru-baru ini.

“Serbuan yang dijalankan itu adalah susulan tangkapan 10 orang termasuk tiga wanita iaitu sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang baru-baru ini…dua warga asing yang kami tahan di sini itu merupakan ahli sindiket berkenaan yang beroperasi di negeri ini sejak dua tahun lepas,” katanya.

Katanya, semua dadah yang dirampas itu bernilai RM671,000 dan polis masih menjalankan siasatan berhubung 50 butir peluru dirampas tersebut yang dipercayai digunakan untuk mereka ketika menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

— BERNAMA

Tags: #bm, dadah, tekong

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan