KUCHING, 14 Sept: Ketua Jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak kecewa dengan kekalahan pasukannya menentang Selangor FC dalam saingan Liga Super 2024.
Kuching City FC tiba di Stadium MBPJ dengan misi meraih mata selepas menampilkan aksi menyakinkan sebelum ini.
Walaupunbagaimanapun, kelebihan gelanggang sendiri ternyata memihak kepada pasukan Merah Kuning yang berjaya melakar kemenangan 4-0.
Di sebalik kekecewaan, Aidil tetap berharap barisan pemain The Cats mampu bangkit dalam perlawanan akan datang.
“Kita tidak bermain dengan baik. Pertahanan kita tidak kental sebagai satu pasukan namun ini adalah bola sepak. Kita kena terima dan perbaiki kesilapan,” katanya.
Pada masa sama Aidil melihat tanggungjawab melindungi gawang pasukan terletak kepada semua pemain dan bukan pertahanan sahaja.
Tambahnya, sebarang kesilapan yang dikesan akan dianalisis bagi membolehkan Kuching City FC tampil lebih baik.
“Kita bukan bercakap tentang pertahanan sahaja, kita bercakap tentang satu pasukan. Kita kena bekerjasama, itu perkara paling penting,” ujarnya.
Selepas ini, Kuching City FC akan berehat kerana tidak memiliki sebarang perlawanan dalam aksi minggu ke-11
Kuching City FC kembali turun beraksi menentang JDT pada 27 September.-TVS