KUCHING, Khamis, 12 Ogos – Mengibar bendera Jalur Gemilang merupakan satu cara untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara serta penterjemahan solidariti kita kepada negara yang sedang dilanda pandemik COVID-19.
Selain itu juga, mengibar Jalur Gemilang juga merupakan satu tanda sokongan kita terhadap segala usaha kerajaan dalam membangkitkan semangat patrotisme bagi seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bersatu padu dalam menghadapi segala cabaran yang dihadapi negara pada ketika ini.
Baca lagi artikel menarik mengenai >>> Dua lagi negara terima vaksin China melalui COVAX
Pada 7 Ogos 2021 yang lepas, Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin Yassin bagi menandakan permulaan untuk rakyat Malaysia meraikan dan menyemarakkan semangat kecintaan kepada tanah air melalui pengibaran Jalur Gemilang di seluruh negara.
Susulan pelancaran itu, Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak (JaPen Sarawak) telah memulakan langkah mengatur dan menyusun pelbagai aktiviti serta program bagi membangkitkan semangat patrotisme di dalam setiap diri rakyat Malaysia.
Menurut Pengarah Penerangan Malaysia Sarawak, Swady Guliling, JaPen Sarawak telah merancang untuk melaksanakan 495 Program ‘Info On Wheels’ Merdeka (IOW@Merdeka) sepanjang bulan Kebangsaan ini yang dijangka berlangsung sehingga 16 September pada Hari Malaysia 2021 nanti.