KUCHING, 14 Sept: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memberi jaminan bahawa 402 kanak-kanak yang diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dipercayai milik Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB Holding) kini selamat di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, pihaknya tidak boleh memberikan maklumat terperinci mengenai apa yang berlaku ketika ini bagi memberi laluan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan.
“Apa yang boleh saya kongsikan ialah KPWKM melalui JKM telah terlibat dari awal dalam operasi ini.
“Kami sentiasa prihatin terhadap kebajikan kanak-kanak dan tugas JKM dalam hal ini adalah memberi perlindungan, penjagaan dan sokongan sewajarnya kepada kanak-kanak yang diselamatkan agar mereka tenang, selesa dan rasa selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat ke Program Advokasi Kanak-Kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) Santubong bersempena dengan Program Komuniti Santuni MADANI hari ini.
Tambah beliau, kanak-kanak yang diselamatkan itu kini berada di tempat selamat, di bawah jagaan JKM dan pengawasan PDRM.
“KKM juga turut membantu menguruskan kanak-kanak ini dengan membuat pemeriksaan kesihatan dan kaunseling. Kanak-kanak ini perlu dijaga oleh mereka yang mempunyai kepakaran (JKM) sebab ada dalam kalangan kanak-kanak ini yang tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan.
“Mereka (pegawai JKM) sudah biasa mengurus kanak-kanak terutamanya yang ada autisme dan penyakit. Inilah penting mengapa JKM perlu membantu PDRM dalam urusan ini,” katanya.
Tambah Nancy, pihaknya telah mendapatkan perintah mahkamah untuk penempatan kanak-kanak ini selepas siasatan selesai kelak. – TVS