KUALA LUMPUR ,11 Ogos: Seramai 1,300 pelajar di beberapa negeri menerima manfaat melalui program Cerdik yang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan beberapa kementerian.
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, menerusi program berkenaan, pihaknya menyumbang sebanyak RM2.5 juta bagi menyediakan akses digital kepada murid- murid dari keluarga berpendapatan rendah.
“Akses digital berkenaan meliputi komputer riba, tablet dan sambungan data dinikmati oleh pelajar di 16 buah sekolah di Sarawak, Perak, Pahang, Selangor, Kelantan, Johor, Kedah dan Negeri Sembilan bagi merapatkan jurang proses pembelajaran secara dalam talian,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurutnya, BSN teruja kerana dapat bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan dalam program berkenaan yang dikendalikan oleh Yayasan Hasanah.
“Ini adalah antara usaha berterusan BSN dalam menyediakan keperluan asas persekolahan bagi pelajar yang memerlukan selaras dengan nilai jenama CSR kami iaitu BSN Care di bawah teras Pendidikan,” katanya.
Sebelum ini BSN telah melaksanakan pelbagai program khususnya bagi pelajar kurang berkemampuan seperti Program ‘Jom To School Spectacular’ (JTS Spectacular), Program ‘Murid Spec-tacular’ dan sebagainya. -TVS