SIMANGGANG, 14 Sept: Pemilihan Bahagian Simanggang sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat Sarawak pada tahun ini memberi pengertian yang cukup besar kepada komuniti setempat di bandar itu.
Ketua Masyarakat Cina Simanggang, Temenggong Kueh Aik Seng berkata, bahagian itu mengalami perubahan ketara dari segi pembangunan pada masa sekarang.
“Misalnya, Projek Taman Tebingan Sungai Batang Lupar bernilai RM12 juta yang selesai dilaksanakan oleh kerajaan pada 2022 lepas secara tidak langsung telah pun memberi imej baharu kepada Bandar Benak (Simanggang) ini.
“Ia tidak termasuk projek pembinaan Jambatan Batang Lupar I dan II yang sedang berlangsung sekarang, sekali gus menjadikan Simanggang sebagai bandar yang semakin strategik serta menarik apabila ia sudah selesai dibina nanti,” katanya.
Kueh berpendapat bahawa perkembangan ini perlu ditonjol kepada orang luar agar mereka sedar bahawa Simanggang berpotensi untuk dikunjungi dan dijadikan sebagai lokasi pelaburan pada masa akan datang.
“Perubahan besar yang berlaku di Simanggang ini adalah hasil kesinambungan pelaksanaan dasar politik pembangunan era pimpinan lalu dan juga komitmen dalam kalangan pemimpin kita (Sarawak) pada masa sekarang.
Beliau berharap bahawa dengan terpilihnya Simanggang sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia peringkat Sarawak 2024 maka lebih banyak projek pembangunan dibawa masuk ke sini pada masa akan datang.
“Sesuai dengan tema sambutan Hari Malaysia tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, maka diharap agar banyak kemudahan baharu dapat dibina dan dinaik taraf di Simanggang bagi mengubah wajah pembangunan Simanggang,” katanya. – TVS