KUCHING, 12 Sept: Setiap rakyat sudah pasti mempunyai pelbagai pandangan terhadap Hari Malaysia.
Namun bagi rakyat wilayah ini, Hari Malaysia dianggap sebagai simbol penyatuan rakyat Sarawak, Sabah dan Semenanjung dalam pembentukan Malaysia 67 tahun lalu.
Malah, sambutan Hari Malaysia dianggap penting untuk memperingati pembentukan negara dan makna di sebalik peristiwa bersejarah tersebut.
Bagi Faizzah Sulaiman,29, Hari Malaysia melambangkan semangat perpaduan dan keharmonian rakyat Sarawak, Sabah dan Semenanjung.
“Ia (Hari Malaysia) penting untuk mengenang perjuangan pemimpin terdahulu dan mengingatkan kita tentang kepentingan hidup bersama secara harmonu.
“Hanya dengan cara ini kita dapat bersatu di bawah satu nama iaitu Malaysia,” katanya kepada TVS hari ini.
Lawrence Dingat,25, pula berpendapat, sebagai rakyat Malaysia, penting untuk memperingati jasa pemimpin yang bertanggungjawab dalam pembentukan negara ini.
“Hari Malaysia melambangkan penyatuan dan perpaduan terutama dalam konteks masyarakat berbilang kaum yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain. Ia (Hari Malaysia) penting untuk mengenang jasa pemimpin terdahulu,” ujarnya.
Sementara itu, Shifa Ridora,33, menyifatkan Hari Malaysia melambangkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
“Hari Malaysia sangat penting dan sama seperti Hari Kebangsaan atau Hari Sarawak. Ia merupakan hari bersejarah yang mana Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bergabung. Pada masa sama, kita hidup bersama di bawah satu negara,” jelasnya.
Shahira Aziera,26, pula berharap rakyat Malaysia terus mengekalkan perpaduan.
“Saya berharap perpaduan ini kekal di Malaysia kerana ia bukti kita masih bersatu walaupun berbeza kaum,” kata Shahira.- TVS