Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Aaron Ago Dagang berkata kementeriannya akan melaksanakan lima inisiatif menggunakan peruntukan Belanjawan 2025 bagi mengukuhkan perpaduan di negara ini. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Belanjawan 2025: KPN peruntuk RM248 juta bagi kukuhkan program perpaduan

KUCHING, 15 Sept: Kementerian Perpaduan Negara mengesyorkan peruntukan RM248 juta dalam Belanjawan 2025 bagi melaksanakan lima inisiatif mengukuhkan perpaduan negara.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata peruntukan bagi pertimbangan Kementerian Kewangan itu merangkumi Program Perpaduan, Integrasi Nasional dan Keharmonian serta Kesejahteraan Komuniti masing-masing memperuntukkan dana berjumlah RM100 juta.

Menurut Aaron, sejumlah RM20 juta diperlukan bagi melaksanakan Program Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan, Pendigitalan dan Teknologi (RM15 juta) serta Penambahbaikan Infrastruktur Perpaduan melibatkan dana RM13 juta.

“Daripada maklum balas yang kita dapat, kita ketahui banyak yang kita perlu ubah untuk ikut bukan sahaja kehendak Kerajaan, tetapi kehendak masyarakat yang melihat kepentingan Kementerian Perpaduan Negara,” katanya.

Terdahulu, pihaknya mengadakan sesi libat urus Belanjawan 2025 yang bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’ pada 6 Ogos lalu bagi mendapatkan cadangan, pandangan dan idea daripada pihak berkepentingan.

Kementerian Perpaduan Negara juga telah melaksanakan hebahan kepada semua pemegang taruh dan orang awam untuk memberikan maklum balas terhadap soal selidik dan cadangan Input Belanjawan 2025 secara dalam talian mulai 18 Julai 2024.

Menjelaskan lanjut mengenai peruntukan itu, Aaron berkata ia penting kerana Rancangan Malaysia ke- 12 menyasarkan Indeks Perpaduan Nasional sebanyak 0.7 peratus menjelang 2025.

Katanya, data indeks berkenaan diguna pakai untuk menilai tahap perpaduan semasa dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sehubungan itu beliau menambah, pelaksanaan pelbagai program amat penting bagi mewujudkan tapak integrasi yang mampu meningkatkan interaksi antara rakyat pelbagai bangsa dan agama.

Di bawah Inisiatif Kesejahteraan Komuniti menurutnya, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) diperkasakan sebagai penggerak komuniti progresif dengan jumlah peruntukan RM160,000 untuk setiap KRT, dan terdapat 500 KRT kesemuanya.

Antara program-program yang dilaksanakan ialah Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2025, Konvensyen Perdana Rukun Tetangga 2025, Karnival Ekonomi Rukun Tetangga 2025, Sambutan 50 Tahun KRT, Jiranku Keluargaku Rukun Tetangga, Tuisyen Kami, Gerak Kerja Pengurusan Bencana, Bengkel Pemerkasaan Skuad Uniti, Gerak Rahmah Jom Sihat dan Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan di seluruh negara.

Manakala bagi Inisiatif Pendigitalan dan Teknologi pula akan menumpukan ke arah pelaksanaan transformasi pendigitalan perkhidmatan dan bahan-bahan khazanah negara di Muzium, Arkib dan Perpustakaan ke arah pengukuhan jati diri dan pemantapan budaya berilmu.

Antara perkhidmatan yang dilaksanakan di muzium ialah pemodenan teknologi pameran dan kandungan digital, pembangunan pameran maya alam semula jadi dan eksplorasi maya 360° bagi muzium-muzium terpilih.

Untuk arkib, projek pendigitalan Negarawan Memorial Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn akan dilaksanakan; manakala bagi perpustakaan pula ialah perkhidmatan Metaverse Space Perpustakaan, Galeri Maya Kebitaraan Malaysia dan Pembangunan Teknologi Robotik.

Difahamkan Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober depan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan