KUCHING, 11 September: Malam Gala ke-14 M.O Sarawak 2024 bakal mengangkat martabat busana tradisional pua kumbu yang sinonim dengan etnik Iban di negeri ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, selain memperaga busana pua kumbu, majlis itu turut menjadi wadah untuk mempromosikan budaya serta tradisi kaum Dayak Sarawak dalam industri pelancongan.
“Antara objektif penganjuran malam gala pada kali ini adalah untuk mempamerkan hasil seni kreatif dari segi fesyen, kraf, selain mempamerkan budaya harmoni masyarakat yang pelbagai kaum di Sarawak.
“Penganjuran The Face M.O Sarawak pula adalah bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat belia Sarawak di dalam peragaan selain mengetengahkan pakaian tradisi kepada masyarakat luar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Gala M.O Sarawak 2024 di Kuching pada Rabu.
Malam Gala M.O Sarawak 2024 yang akan diadakan pada 21 September 2024 di Miri dijangka dihadiri oleh 800 tetamu. – TVS