KUCHING, 13 Sept: Inisiatif Harmoni MADANI menjadi tongggak utama kerajaan untuk memperkukuhkan perpaduan nasional seiring arus globalisasi dan perubahan sosial.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan inisiatif berkenaan pada 27 April lalu bagi memberi pemahaman mendalam, penghormatan, dan penerimaan terhadap keharmonian sosial dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, pelbagai program dirancang dan dilaksanakan sepanjang tahun untuk mencapai objektif meningkatkan kefahaman terhadap kepelbagaian agama dan budaya di bawah inisiatif berkenaan.
“Antara tujuan Inisiatif Harmoni MADANI dilaksanakan bagi mencapai objektif seperti meningkatkan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam bagi memperkukuhkan hubungan kebersamaan dan keharmonian negara.
“Selain itu, membudayakan amalan menyebarkan mesej keharmonian dan muhibah antara pelbagai penganut agama serta meningkatkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya.
Beliau juga memaklumkan, Inisiatif Harmoni MADANI telah diklusterkan kepada empat tumpuan pendekatan pelaksanaan iaitu jalinan harmoni, acara antarabangsa, wacana ilmu dan promosi.
Pendekatan ini katanya melibatkan pelaksanaan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan yang turut disemarakkan ke peringkat negeri.
“Program-program di peringkat komuniti di peringkat harmoni memberi tumpuan kepada interaksi berkesan dalam kalangan masyarakat dan menggambarkan sokongan dan galakan kepada persefahaman antara budaya dan agama yang merupakan dimensi penting dalam budaya keamanan.
“Pada masa sama, promosi digerakkan dengan konsep faham, hormat dan terima yang bertujuan mengajak rakyat berbilang kaum menyelami serta mengenali budaya dan agama sekaligus menyemai semangat keharmonian di dalam negara,” katanya lagi.
Sehingga Ogos 2024, KPN dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melaksanakan tujuh program utama iaitu Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama, Program Dialog Harmoni, Iftar Madani, Jejak Harmoni Perdana Sempena Pelancaran Inisiatif Harmoni Madani Tahun 2024, Persidangan Pemimpin Agama Antarabangsa 2024, Dokumentari Harmoni dan Podcast: Bicara Harmoni. – TVS