KUCHING, 10 Sept: Keharmonian dan kesepaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak antara faktor wilayah ini memperoleh persepsi yang baik dalam kalangan anak muda tempatan.
Menurut laporan kajian Persepsi Belia Malaysia terhadap Malaysia yang diterbitkan pada Selasa, kepelbagaian yang dimiliki menjadikan golongan belia lebih menghargai budaya dan keharmonian yang dirasai saat ini.
“Sebab utama Sarawak dilihat sebagai model perpaduan ialah kerana fabrik sosial yang dicirikan dengan rasa saling hormat-menghormati dan bertolak ansur.
“Selain itu, negeri ini juga tidak berdepan konflik etnik dan agama yang serius, berbanding bahagian lain di Malaysia,” menurut kajian itu.
Menurut kajian itu, kelompok Bumiputera Sarawak telah memberikan markah yang tinggi terhadap kepuasan estetik tapak bersejarah (4.22), makanan (4.33) dan budaya (3.99) berbanding responden berbangsa Melayu dan Cina.
Hal ini kerana, masyarakat di Sarawak juga menghormati prinsip kebebasan kepada individu atau komuniti untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing, yang memupuk nilai bersatu padu.
Menurut kajian itu lagi, hasil kajian ini menunjukkan kepentingan mempromosikan dan berkongsi keindahan budaya dan tradisi masyarakat di Malaysia.
“Persepsi positif ini, khususnya di Sarawak, menekankan kepentingan mempromosikan Malaysia sebagai masyarakat pelbagai budaya yang harmoni,” menurut kajian itu. – TVS