BERLIN, 11 Ogos — Tiada lagi ujian saringan COVID-19 percuma untuk golongan yang enggan menerima vaksin, kata Canselor Angela Merkel pada Selasa.
“Kita sedang menawarkan vaksinasi secara percuma untuk seluruh rakyat di Jerman, dan kita akan tamatkan ujian saringan COVID-19 secara percuma pada 11 Oktober,” kata Merkel pada sidang media di Berlin.
Menurut Agensi Berita Anadolu, Merkel menggesa semua warga Jerman untuk mendapatkan suntikan vaksin berikutan kes jangkitan semakin bertambah.
Pihak berkuasa mungkin menetapkan peraturan untuk rakyatnya memaparkan perakuan vaksinasi dan ujian saringan COVID-19 di tempat tertutup seperti hospital, restoran atau pusat kesihatan, sekiranya kadar jangkitan harian meningkat 35 bagi setiap 100,000 penduduk.
Mesyuarat tersebut memutuskan selepas 11 Oktober mereka yang enggan menerima vaksin perlu membayar perkhidmatan ujian saringan COVID-19.
Ujian percuma hanya diberikan kepada golongan wanita hamil, kanak-kanak dan mereka di bawah usia 18 tahun.
Di kebanyakan negeri, mereka yang ingin menghadiri seminar perniagaan, kebudayaan atau acara sukan berskala besar perlu menjalani saringan COVID-19.
Kerajaan tempatan juga boleh mengenakan peraturan lebih ketat ke atas pelanggan di restoran, bar dan kafe tertutup, andai kadar jangkitan meningkat kecuali mereka dapat menunjukkan bukti vaksinasi.
— BERNAMA