KAJANG, 11 Ogos: Polis kini sedang mengesan sekumpulan lelaki yang terlibat dalam pergaduhan bersenjata yang mana video berkenaan tular.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan Flat Sri Timah di Balakong.
“Video berdurasi selama seminit 32 saat itu dikesan oleh seorang pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
“Sehubungan itu, kesemua individu dalam video berkenaan yang bergaduh menggunakan senjata tajam dan besi kini diburu polis untuk membantu siasatan dan mengenal pasti motif kejadian,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 dan 269 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau talian 03-89114222,” katanya.-TVS