KUALA LUMPUR: Jumlah kapasiti individu termasuk bilangan ahli parlimen untuk menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadualkan bermula 6 September akan diteliti.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata ia bagi memastikan kelancaran persidangan parlimen dan mengelakkan kejadian penularan COVID-19 berlaku.
“Belajar daripada apa yang berlaku pada sidang khas Dewan Rakyat baru-baru ini, kita perlukan langkah pencegahan yang lebih mantap”. katanya kepada Bernama.
Bagi tujuan itu, katanya Jawatankuasa Dewan Rakyat akan berbincang dengan ketua-ketua whip parti kerajaan dan pembangkang dalam tempoh terdekat berdasarkan nasihat yang akan dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos, hanya bersidang selama empat hari dan terpaksa ditangguhkan berikutan berlaku penularan jangkitan COVID-19 di bangunan Parlimen.
Sehingga 8 Ogos, sebanyak 88 kes positif wabak berkenaan dikesan melibatkan individu yang menghadiri sidang khas itu.
Mengenai usul percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan dibawa ke sidang dewan rakyat pada September, Mohd Rashid berkata pihak parlimen belum menerima usul tersebut.
“…Kita belum terima lagi setakat hari ini. Bagi usul kerajaan tempoh penghantarannya tidak terlalu jauh dari tarikh persidangan berbanding usul peribadi yang perlu dihantar dalam tempoh 14 hari sebelum bersidang,”
Sebelum ini, Muhyiddin menegaskan keabsahan beliau sebagai perdana menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di dewan rakyat, September ini.