Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman. Foto TVS

Fazzrudin selar kenyataan Pengerusi DAP Sarawak berkenaan pengambilalihan MASwings

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 1 Sept: Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman meminta Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen untuk merujuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung parti itu berkenaan kenaikan harga tiket penerbangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu berkata, urusan penerbangan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Kuasa untuk mengawal selia dan menyelia hal ehwal penerbangan terletak pada Kerajaan Persekutuan yang menterinya adalah bos Chong sendiri dalam DAP.

“Saya hairan mengapa beliau tidak menghubungi rakan sejawatannya di Putrajaya, memandangkan ia adalah lebih mudah untuk berbuat demikian melihat kepada hubungan peribadinya dengan menteri itu yang datang dari parti yang sama.

“Persoalannya mengapa beliau tidak mempercayai bosnya sendiri dan sebaliknya menggesa Kerajaan Sarawak untuk campur tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Fazzrudin berkata, walaupun terdapat keraguan awal oleh Ahli Parlimen Stampin itu, namun kini jelas kelihatan sokongan daripada pembangkang terhadap cadangan Kerajaan Sarawak mengambil alih MASwings.

“Ini menunjukkan bahawa terdapat sokongan, malah daripada pembangkang untuk Sarawak mempunyai syarikat penerbangan sendiri kerana keperluan mendesak dalam pengangkutan udara.

“Ia walaupun beberapa pemimpin DAP Sarawak sebelum ini mempersoalkan cadangan itu,” ujarnya.

Sementara itu, Fazzrudin menjelaskan, dengan pengambilalihan itu, tambang penerbangan tidak lagi tertakluk kepada monopoli sekali gus memastikan harga yang lebih kompetitif.

Fazzrudin menambah, selain daripada usaha pengambilalihan MASwings, Kerajaan Sarawak telah mengambil inisiatif memberi bantuan subsidi melibatkan seramai 12,000 pelajar dari negeri ini menerusi skim Graduan Pulang Sarawak bagi meringankan beban mereka.

Pada Sabtu, Chong mengeluarkan kenyataan menggesa Kerajaan Sarawak menyediakan jangka masa yang jelas untuk cadangan pengambilalihan MASwings, yang menurutnya telah ditangguhkan.

Sebelum ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, syarikat penerbangan milik Sarawak itu dijadualkan mula beroperasi pada 2025. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan