KUCHING, 30 Ogos: Business Events Sarawak (BESarawak) memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang memberi ruang kerjasama dalam melaksanakan kajian impak ekonomi dan legasi susulan penganjuran acara perniagaan dan pelancongan di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kajian tersebut sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk meningkatkan kedatangan pelancong sebanyak 7.5 peratus setahun serta menyumbang 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak menjelang 2030.
“Dengan kepakaran Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan di UNIMAS, Profesor Dr Rossazana, kajian ekonomi itu akan membangunkan rangka kerja ekonomi terperinci yang merekod dan melaporkan data seperti kedatangan pelancong untuk acara perniagaan dan hasil keuntungan yang dijana.
“Manakala, kajian impak legasi pula bagi menganalisis impak yang lebih luas daripada penganjuran persidangan dan pameran, seperti pembangunan komuniti, tanggungjawab sosial, pengaruh dasar dan peluang pelaburan”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemeteraian MoU antara Business Events Sarawak (BESarawak) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata dengan kajian impak itu juga, dashboard impak legasi akan dilancarkan pada suku pertama 2025 untuk membolehkan perancang acara perniagaan mengetahui sumbangan mereka kepada Sarawak secara holistik.
“Di bawah bimbingan Profesor Dr Wang dan Profesor Dr Lo dari UNIMAS, Sarawak sedang mencipta sistem dashboard tercanggih yang pertama di Malaysia untuk memantau, mengesah, dan melapor faedah jangka panjang acara perniagaan yang diadakan di Sarawak.
Tahun lalu, Sarawak telah melancarkan Pelan Tindakan Induk Impak Legasi (Legacy MAP) 2023-2025 yang pertama di pameran perdagangan IMEX Frankfurt, Jerman untuk menentukan dan memacu hala tuju mengenai penganjuran acara perniagaan di Sarawak.
Ujarnya, penekanan terhadap kepentingan impak legasi berjaya apabila Sarawak telah dipilih menjadi tuan rumah Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) 2028.
“Menjelang 2030, impak legasi akan menjadi proses semula jadi dalam menganjurkan acara perniagaan dan Sarawak akan diletakkan sebagai ibu kota legasi untuk acara perniagaan di Malaysia serta Borneo,” katanya. – TVS