TAIWAN, 29 Ogos: Taiwan menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam memantapkan sektor pelancongan di kedua-dua destinasi, kata Pengarah Pentadbiran Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur, Chou Shih-Pi.
Beliau berkata, penerbangan terus dari Sarawak ke Taiwan perlu dipertimbangkan kedua-dua kerajaan untuk merealisasikan hasrat tersebut.
“Kami berharap Taiwan menerima pelancong dari Malaysia dan lebih ramai warga Taiwan berkunjung ke Malaysia.
“Sarawak adalah destinasi baharu bagi warga Taiwan. Setakat ini, kami tidak mempunyai penerbangan terus ke Sarawak.
“Sehubungan itu, kami berharap penerbangan terus dari Kuching, Sibu atau Miri ke Taipei atau Kaoshiong boleh diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jom Taiwan di Taipei, Taiwan baru-baru ini.
Jom Taiwan merupakan program inisiatif Biro Pelancongan Taiwan yang memfokuskan promosi pelacongan mesra Muslim untuk menarik lebih ramai pelancong Malaysia terutama mereka yang beragama Islam.
Turut hadir, Duta Salam Taiwan, Nabila Razali, Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia, Aznifah Ghani, Pengarah Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Hafiz Hazin serta Pengarah Perdagangan Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia Aninawati Saleh.
Selain itu, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Pentadbiran Pelancongan Taiwan, Huang Yi-Chen dan Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran Pelancongan Taiwan, Chou Ting Chang turut hadir pada majlis tersebut.
Menurut Indeks Pelancongan Muslim Global MasterCard-Crescent Rating 2022, Taiwan menduduki tangga kedua sebagai destinasi mesra Muslim dalam kategori bukan negara anggota Organisasi Kerjasama Islam (OIC). – TVS