Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

PPV Dewan Suarah Sri Aman terima penerima vaksin secara “Walk In”

SRI AMAN, 9 OGOS- Pusat Pemberian Vaksin ( PPV) Dewan Suarah Sri Aman kini menerima kehadiran penerima vaksin secara ‘Walk in’ dengan had 60 slot ditawarkan hari ini melalui Program Imunisasi COVID Kebangsaan (PICK) Daerah Sri Aman.

Menurut Ketua Penyelaras Vaksinasi Bahagian Sri Aman, Dr Janariah Jangani menyatakan slot tanpa janji temu atau ‘walk in’ di PPV Dewan Suarah Sri Aman diadakan bermula Jumaat sehingga Isnin setiap minggu.

“Seperti mana hari ini kita turut memperuntukkan slot tanpa temu janji kepada warga Bahagian Sri Aman dimana ianya diadakan setiap Jumaat hingga Isnin setiap minggu dan untuk hari ini juga seramai 42 individu akan melengkapkan dos kedua vaksinasi mereka” katanya yang ditemui oleh Jabatan Penerangan pagi tadi.

Menurut beliau lagi, untuk suntikan tanpa janji temu ini, penerima akan divaksin menggunakan vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Gambar: Orang ramai mendaftar untuk mendapatkan vaksin secara walk in.

Setakat ini untuk Bahagian Sri Aman sebanyak 52,390 atau 67 peratus individu daripada keseluruhan 79,000 penduduk yang layak telah menerima vaksin dan pihaknya kini telah mewujudkan Pusat Vaksinasi Bergerak atau secara ‘mopping’ yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan yang bergerak ke kawasan komuniti seperti kampung-kampung dan rumah panjang dengan sasaran utama ialah Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mereka yang sukar ke PPV akibat masalah kesihatan.

“Untuk memastikan semua mereka yang layak dapat divaksin, KKM telah melaksanakan secara berperingkat yang mana pada peringkat awal ini melalui PPV Statik, kemudian secara mobile dan yang terakhir secara mopping.

“Mopping ini adalah proses terakhir untuk memvaksin mereka yang tercicir misalnya mereka tidak dapat bergerak atau terlantar di rumah dimana kita akan bekerjasama dengan ketua-ketua kampung untuk mengenal pasti mereka yang tercicir.

Melalui maklumat tersebut pasukan KKM akan pergi dari rumah ke rumah yang telah dikenalpasti dengan syarat mereka mestilah golongan yang layak dan bersetuju menerima vaksin” jelasnya lagi.

Bagi negeri Sarawak, imuniti kelompok dijangka dapat dicapai pada pertengahan bulan ini atau September berdasarkan pencapaian program vaksinasi setakat ini dimana setakat 5 Ogos sebanyak 87.3 peratus atau seramai 1,820,528 orang daripada 2.08 juta populasi yang layak, sudah menerima dos pertama. Manakala bagi dos kedua pula, sebanyak 69.2 peratus atau seramai 1,442,606 orang rakyat Sarawak sudah menerimanya.

Sumber: Jabatan Penerangan Sri Aman

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan