Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

COVID: Tiada kematian dalam kalangan penerima vaksin lengkap di Sarawak

KUCHING: Tiada kes kematian akibat COVID-19 dalam kalangan penerima vaksin lengkap atau sekurang-kurangnya 14 hari seelepas menerima dos kedua di Sarawak.

Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata daripada sejumlah 449 kematian disebabkan COVID-19 yang dilaporkan setakat semalam, 425 kematian atau 94.6 peratus tidak mempunyai sejarah imunisasi penyakit itu.

“Manakala 21 kematian (4.7 peratus) hanya menerima dos pertama ketika mereka dikesan positif COVID-19. Hanya tiga kes kematian (0.7 peratus) telah menerima dos pertama dan kedua sebelum mereka dikesan positif tetapi di dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan dos terakhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya Sarawak turut mencatatkan liputan imunisasi yang tinggi dalam kalangan populasi dewasa yang layak dengan sebanyak 88.2 peratus sudah menerima dos pertama sementara 75.9 peratus sudah menerima dos kedua.

“Pencapaian liputan imunisasi COVID-19 yang tinggi ini merupakan hasil usaha dan kerjasama pelbagai pihak iaitu CITF (Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19) Sarawak, petugas kesihatan dan sukarelawan serta orang ramai yang telah mendapatkan imunisasi,” katanya.

Dr Mohamed Sapian berkata bilangan pesakit yang memerlukan pemantauan dan rawatan rapi di hospital turut berkurangan sejajar dengan peningkatan mendadak liputan imunisasi COVID-19 di Sarawak.

Katanya, jumlah kes kemasukan harian baharu ke hospital bagi tahap klinikal tiga, empat dan lima setakat semalam adalah sebanyak 44 kes dengan purata 5.5 kes sehari.

“Ini merupakan penurunan berbanding Julai lepas dengan purata kes kemasukan harian ke hospital bagi tahap klinikal tiga, empat dan lima sebanyak 9.1 kes sehari,” katanya.

Bilangan kes yang memerlukan rawatan kritikal juga telah menurun daripada purata 83 kes sehari pada Jun lepas kepada 45 kes sehari pada Julai  dan bilangan ini terus menurun kepada purata 27 kes sehari setakat semalam.

“Bagaimanapun, imunisasi tidak dapat mencegah sepenuhnya risiko untuk dijangkiti COVID-19. Jangkitan masih boleh berlaku di sebilangan kecil individu yang telah lengkap imunisasi tetapi gejala yang dialami biasanya adalah ringan,” katanya.

– BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan