KUCHING, 26 Ogos: Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak atau Sarawak Hornbill Tourism Awards (SHTA) tahun ini menampilkan lapan kategori utama dan 28 subkategori.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia mencerminkan komitmen dalam meraikan kecemerlangan dalam industri pelancongan.
Malah menurutnya, anugerah tersebut sebagai usaha menghargai sumbangan cemerlang individu dan organisasi dari tahun 2019 hingga 2023 yang memberi kesan ketara kepada pertumbuhan serta pelancongan di rantau ini.
Tambahnya, SHTA merupakan acara dwitahunan anjuran Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dan Persekutuan Pelancongan Sarawak yang bertujuan mengiktiraf usaha mereka yang pergi jauh untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan terkemuka.
“Anugerah ini bukan sahaja menyerlahkan pencapaian dalam pelbagai sektor seperti hospitaliti, ekopelancongan dan pemuliharaan budaya tetapi berfungsi sebagai platform memberi inspirasi kepada inovasi serta kecemerlangan berterusan dalam industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak ke-9 di Bangunan Baitulmakmur II, pada Isnin.
Sebanyak 241 pencalonan diterima pada tarikh akhir 10 Mei lalu yang mempamerkan bakat dan dedikasi dalam sektor pencalonan Sarawak.
Karim menjelaskan, SHTA berlangsung pada 27 September di Hikmah Exchange Event Centre.
Kategori anugerah akan dinilai jawatankuasa pemilihan terdiri daripada 45 hakim yang mewakili gabungan sektor swasta dan awam untuk memastikan proses penilaian adil serta menyeluruh.
Menurutnya, lapan kategori anugerah merangkumi, operator pelancongan, pelancong dan pemandu terbaik, penginapan terbaik, pengalaman makan, peruncitan dan rekreasi terbaik, pelancongan minat khas terbaik, tarikan terbaik, promosi terbaik serta sumbangan media sosial kepada industri pelancongan, pengalaman acara pelancongan, festival terbaik serta Anugerah Khas Hornbill.
Kesemua finalis SHTA ke-9 akan dianugerahkan sijil penghargaan manakala pemenang setiap kategori menerima insentif tunai RM5,000, insentif pemasaran RM3,000 dan trofi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka hadir menyampaikan anugerah tersebut.-TVS