IPOH, 25 Ogos: Pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan papan tanda keselamatan di Jalan Kamaruddin Isa di Taman Fair Park di sini berdekatan kawasan kerja naik taraf kelubung oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berikutan kejadian jalan retak dan berlubang.
MBI dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian itu disebabkan berlakunya hakisan tebing berhampiran struktur kelubung paip yang baru sahaja disiapkan pada awal bulan ini melalui kaedah jacking.
Pihak berkuasa tempatan itu turut memaklumkan melalui semakan pihak mereka, hakisan tebing itu berlaku disebabkan korekan yang dilaksanakan oleh pihak kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan struktur inlet (salur masuk) kelubung berkenaan.
Kerja-kerja pengukuhan tebing mula dilaksanakan pada petang semalam dengan kaedah pemasangan beg pasir dan rekahan serta lubang di permukaan jalan juga telah dikambus untuk mengelakkan berlakunya runtuhan lebih serius.
“Pihak MBI menjangkakan kerja-kerja pembinaan struktur inlet akan siap dalam tempoh seminggu. Terdapat juga kerja pemasangan U drain yang perlu disambungkan dari inlet sedia ada ke muka kelubung,” menurut kenyataan itu.
Kerja-kerja naik taraf kelubung itu dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan September. – TVS