BENGOH: Usaha pemberian vaksin kepada penduduk di pedalaman sememangnya mencabar, terutamanya di kawasan yang tidak boleh dilalui kenderaan beroda.
Malah ada yang perlu mendaki gunung untuk memastikan tiada seorang pun penduduk yang tercicir daripada menerima vaksin COVID-19.
Meskipun harus melalui empangan dan mendaki gunung untuk sampai ke penempatan penduduk, namun pasukan petugas kesihatan terus cekal melaksanakan program outreach vaksinasi di kampung sekitar Empangan Ulu Bengoh .
Bagaimanapun, menurut Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, usaha mereka ternyata mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Bahkan ia berjaya mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tempatan tentang kepentingan pengambilan vaksin.
“Hari ini penerimaan vaksin sangat memuaskan. Semua penduduk sanggup mendapatkan dos kedua, dan semua penduduk memberikan kerjasama.,” kata Dr Jerip.
Kesemua penduduk di tiga buah kampung sekitar Empangan Ulu Bengoh telah menerima dos kedua vaksin pada Sabtu.
Kejayaan tersebut adalah hasil usaha kerjasama antara Dr Jerip, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, dengan pasukan Kesihatan Padawan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Padawan, serta Pasukan Balai Bomba Siburan.
Sementara itu, menurut Ketua Kampung Nyegol, Simo Sekam, ada penduduk di kampungnya sebelum ini yang ragu-ragu untuk menerima vaksin.
Namun setelah diberi nasihat oleh pegawai kesihatan, mereka akhirnya akur dan menerima suntikan vaksin.
Bagi ketua Kampung Muk Ayun, Taser Kunnut pula, dengan adanya Program Outreach Vaksinasi ini, penduduk di kawasannya tidak perlu lagi memikirkan masalah pengangkutan untuk mendapatkan suntikan vaksin di bandar.
Manakala, salah seorang penduduk Kampung Muk Ayun, Stanley Tarek, menyuarakan kelegaannya setelah lengkap menerima dua dos vaksin.