KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Kumpulan Affin Bank mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) selepas zakat sebanyak RM293.1 juta pada separuh tahun pertama 2024 (1H2024), menunjukkan penurunan sebanyak 15.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu (1H2023) sebanyak RM345.7 juta diperoleh menerusi pemampatan Margin Faedah Bersih (NIM).
Meneursi satu kenyataan pada Jumaat, Affin memaklumkan bahawa komitmen Kumpulan terhadap pertumbuhan strategik jelas terbukti dalam jumlah asetnya, yang berkembang sebanyak 7.2 peratus kepada RM108.2 bilion, meningkat daripada RM100.9 bilion dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata kumpulan itu menjangkakan NIM akan pulih menjelang separuh tahun pertama 2025.
“Kumpulan Affin Bank menjangkakan NIM akan kembali normal menjelang separuh pertama 2025, kami mengekalkan landasan Pelan Strategik dengan jangkaan bahawa kadar Rizab Persekutuan akan dipotong sebanyak 50 – 75 mata asas dalam masa terdekat.
“Kami (Kumpulan Affin) menyasarkan untuk mengoptimumkan struktur kos operasi dan Kos Dana kami serta menyampaikan penyelesaian pelanggan yang inovatif untuk memenuhi jangkaan yang berkembang,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau juga menekankan transformasi digital Kumpulan Affin yang berterusan dengan Fasa kedua pembangunan Teras Digitalnya, yang akan merangkumi penambahbaikan kepada CASA, Deposit, dan keupayaan e-Dompet.
Tambahnya lagi, Platform Perbankan Mudah Alih Baharu sedang berkembang dengan baik dan dijadualkan untuk ‘Go-Live’ pada Disember 2024, yang dijangka akan meningkatkan lagi francais deposit Kumpulan.
“Kami kekal komited terhadap tiga tonggak strategik utama AX28 kami iaitu Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan, Kepimpinan Digital dan Perbankan Bertanggungjawab dengan Impak.
“Sementara itu, Tonggak Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan telah dicapai dan diatasi, seperti yang dibuktikan oleh Skor NPS kami sebanyak +69 (mengikut tinjauan baru-baru ini oleh IPSOS),” ujarnya.
Wan Razly juga turut memaklumkan bahawa Kumpulan Affin akan melancarkan Perbankan Peribadi AFFIN pada September 2024.
Beliau turut menyatakan keterujaannya terhadap pencapaian Kumpulan Affin yang telah diiktiraf dengan beberapa anugerah berprestij, menekankan komitmennya terhadap kecemerlangan dalam perbankan dan kewangan.
Antara anugerah tersebut, Affin Bank telah dinamakan sebagai ‘Bank Pengurusan Tunai Domestik Malaysia Tahunan untuk AFFINMAX’ oleh Asian Banking & Finance Wholesale Banking Awards 2024.-TVS