Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kepentingan Tiga Dos Vaksin Hepatitis B

BySteward Dawi

KUCHING: Pasti ramai dalam kalangan kita masih kurang sedar tentang kepentingan pengambilan suntikan vaksin Hepatitis B.

Vaksinasi Hepatitis B merupakan salah satu program imunisasi yang wajib diberikan kepada bayi yang baharu lahir selain orang dewasa yang belum pernah divaksinasi bagi mengelakkan risiko dijangkiti penyakit berkaitan.

Hepatitis B merupakan jangkitan pada organ hati yang disebabkan oleh virus hepatitis B (HBV).

Berdasarkan statistik , di Malaysia hampir sejuta orang dijangkiti Hepatitis B, iaitu sekitar 1.9 sehingga 8 peratus daripada populasi negara.

Menurut Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi, Dr Liew Shan Fap, secara purata, dalam kalangan 100 orang dewasa yang berumur lebih 32 tahun, sebanyak lima orang daripadanya mempunyai penyakit tersebut.

“Berdasarkan data, penyakit ini boleh dikatakan sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita TVS baru-baru ini.

Dr Liew menjelaskan, golongan dewasa yang berumur lebih daripada 32 tahun dan kekurangan antibodi amat digalakkan untuk menjalani vaksinasi Hepatitis B secara sukarela bagi mendapatkan imuniti badan.

“Salah satu cara pencegahan yang paling bagus ialah melalui vaksinasi. Kita boleh lihat vaksin Hepatitis B sangat berkesan . Ia merangkumi tiga dos vaksin dengan kaedah suntikan sama seperti vaksin COVID-19,” katanya.

Sejak program vaksinasi Hepatitis B berskala besar mula dilaksanakan di negara ini pada 1989, ia membolehkan bayi yang baharu lahir untuk diberi suntikan vaksin bagi mencegah jangkitan virus itu.

Ditanya mengenai simptom jangkitan, Dr Liew memberitahu bahawa majoriti pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Penyakit ini boleh berlaku secara akut (jangka masa pendek) ataupun kronik (jangka masa panjang). Keadaan seseorang itu dikatakan sebagai kronik jika virus hepatitis B masih ada dalam badan mereka selepas 6 bulan dijangkiti,” jelasnya.

Menyentuh mengenai kaedah pemeriksaan yang dijalankan, ia melibatkan ujian darah, bunyi ultra untuk hati serta pemeriksaan imbasan lain yang berkaitan.

Bagi cara rawatan pula, ia memerlukan pengambilan ubat dalam bentuk pil, iaitu ubat oral antiviral termasuk tenofovir atau entecavir.

“Kita tahu tablet antiviral ini sangat berkesan untuk merawat Hepatitis B. Bagaimanapun, ujian tertentu masih perlu dijalankan bagi mengenal-pasti sama ada seseorang itu perlu mendapatkan rawatan atau tidak. Cadangan daripada doktor sangat penting,” katanya.

Tambahnya, jika Hepatitis B ini dapat dirawat bagi jangka panjang, risiko untuk mendapat sirosis atau kanser hati dapat dikurangkan, seterusnya mencegah Hepatitis B daripada merebak dan mengurangkan risiko kegagalan fungsi hati.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan