KOTA KINABALU: Kerajaan terpaksa menangguhkan pengusiran balik lebih 2,000 pendatang tanpa izin di Sabah ke negara asal susulan berlaku jangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka yang ditempatkan di Pusat Tahanan Sementara (PTS).
Timbalan Menteri Dalam Negeri Jonathan Yasin berkata, jumlah itu membabitkan pendatang tanpa izin dari Filipina serta Indonesia, masing-masing di PTS Sandakan dan Tawau.
Mengikut rekod, sepatutnya kira-kira 200 warga Indonesia diusir ke negara asal pada minggu ini, malah kapal yang membawa mereka juga sudah tiba di Tawau.
Dalam pada itu , Jonathan berkata pihaknya mendapat permohonan daripada pihak berkuasa Indonesia supaya menangguhkan sementara penghantaran semula warga republik itu bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.
“Ini turut membabitkan kerajaan Filipina, dan menyebabkan kami menangguhkan sementara pengusiran kira-kira 2,000 warga penduduknya yang kini dalam tahanan di pts sandakan ke zamboanga, Filipina”. kata Jonathan.
Menurutnya proses pengusiran pendatang tanpa izin itu akan dilakukan sebaik sahaja keadaan jangkitan COVID-19 membabitkan tahanan di pts terkawal. – Ammierul Mukminin TVS Sabah.